'Ambil iktibar, jangan pandang mudah'

by - September 07, 2017

'Ambil iktibar, jangan pandang mudah'




Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bh.com.my


KUALA LUMPUR: "Jangan ambil mudah isu insurans perjalanan dan seharusnya diwajibkan pengambilannya jika mahu keluar negara" kata Alawiyah Md Jasin, 50, isteri kepada Prof Madya Md Zahir Mat Cha, 51, yang koma di Australia sebelum diterbangkan pulang ke Malaysia, bulan lalu.

Isteri kepada pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mahu semua pihak mengambil iktibar kes yang menimpa suaminya yang sakit di luar negara sehingga terpaksa dibawa pulang ke Malaysia dengan bantuan orang ramai.

Malang menimpa Md Zahir pada 31 Julai lalu apabila diserang angin ahmar dan dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital St Vincent's, serta terpaksa menanggung kos perubatan tinggi di negara berkenaan.

Tiada insurans perjalanan Memburukkan keadaan apabila beliau tidak mempunyai insurans perjalanan, sebaliknya penganjur rombongan lawatan kerja diikuti beliau hanya mengambil insurans penerbangan sahaja.

"Malang tidak berbau dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita tidak boleh pandang remeh (kepentingan insurans perjalanan) apabila keluar negara.
Kami terpaksa meminta bantuan orang ramai membantu melunaskan bayaran perubatan dan membawa suami saya pulang.

"Secara peribadi, saya berharap diwajibkan insurans perjalanan ini jika mahu keluar negara walaupun hanya untuk sehari dua sahaja" katanya kepada BH.

Md Zahir dirawat selama 11 hari di Sydney dengan kos dianggarkan AUD$5,600 (RM19,091) sehari di Hospital St Vincent's, sebelum dibawa pulang pada 10 Ogos untuk rawatan susulan di Malaysia.
Alawiyah berkata, suaminya yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, kini sudah sedar tetapi masih belum kuat dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Bil perubatan tinggi

Beliau berkata, keluarganya ada menerima bantuan UUM dalam bentuk insurans berkelompok berjumlah RM50,000, tetapi tetap terpaksa bergantung sumbangan lain kerana bil perubatan tinggi.
Sementara itu, Jaffar Saion, 59, yang pernah terlantar sakit di Australia pada tahun lalu pula menyifatkan insurans perjalanan sebagai 'talian hayat' yang penting.

Pesara kerajaan itu juga diserang strok pada 30 Ogos 2016 sebelum terlantar di Hospital Prince of Wales, Sydney, hampir sebulan dan kemudian dibawa pulang ke Malaysia pada 27 September tahun lalu.

"Saya hanya sedar apabila tiba di Malaysia dan bersyukur ada insurans perjalanan yang disertakan dalam pakej percutian yang dibeli," katanya yang sudah boleh berjalan menggunakan tongkat.
Anaknya, Zulfadli, 32, berkata kos keseluruhan bagi perubatan dan tiket kapal terbang untuk membawa ayahnya pulang mencecah RM513,000 dan RM300,000 daripadanya ditanggung syarikat insurans.

"Saya menyokong pembelian insurans perjalanan perlu diwajibkan, terutama bagi perjalanan luar negara dan penjualan pakej kembara," katanya.

MATTA mahu program kesedaran dipertingkat

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berharap kerajaan dapat mewujudkan program kesedaran berhubung kepentingan insurans perjalanan. MATTA juga mengesyorkan kerajaan melakukan kajian terhadap maklum balas susulan beberapa kes rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara sebelum ini dalam isu berkenaan.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang, berkata menjadi tanggungjawab agensi pelancongan menerangkan kepada pelanggan mengenai risiko bakal mereka hadapi jika melancong bke lokasi mencabar dan keperluan membeli insurans perjalanan.

Galak beli insurans perjalanan

"Pada masa ini, ejen pelancongan MATTA menggalakkan pelanggan yang ingin melancong ke luar negara membeli insurans perjalanan," katanya ketika dihubungi BH, semalam.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harith Ali pula berkata, pihaknya ada berbincang dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berhubung isu sama.

"Kami ada berbincang mengenai perkara ini dengan kementerian, namun keputusan sama ada insurans perjalanan perlu diwajibkan atau sebaliknya masih belum diputuskan.
"Bagi BUMITRA, kita sentiasa ingatkan ahli mengenai kepentingan insurans perjalanan dan minta mereka galakkan pelancong kita membelinya sekiranya mahu melancong ke luar negara," katanya.
Katanya, walaupun jumlah kes pelancong Malaysia sakit ketika berada di luar negara adalah rendah, pengalaman sedemikian memang menyukarkan.

Kos perubatan sangat tinggi Harith berkata, sekiranya berlaku kemalangan, pampasan akan ditanggung oleh syarikat pengangkutan, tetapi berbeza jika seseorang jatuh sakit di luar negara kerana memerlukan insurans perubatan.

Bagi sesetengah negara seperti Australia dan Eropah, katanya, kos perubatan sangat tinggi, sekali gus insurans perjalanan sangat penting.


Sumber dari- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/320861/ambil-iktibar-jangan-pandang-mudah

You May Also Like

0 comments