Peraturan baharu masuk Thailand mulai 1 Oktober
Peraturan baharu masuk Thailand mulai 1 Oktober
SONGKHLA: Thailand akan melaksanakan peraturan baharu untuk
memasuki negara itu di pintu masuk sempadan negara itu dan Malaysia mulai 1 Okt
ini, kata Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd Afandi Abu Bakar.
Beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang hendak memasuki
Thailand supaya memahami dan mematuhi peraturan baharu itu serta menggunakan
dokumen perjalanan yang sah.
Katanya, antara peraturan itu adalah perlu mengisytiharkan
kenderaan serta penumpangnya dengan mengisi borang masuk kepada Jabatan
Imigresen dan Kastam Thailand.
"Pemandu yang gagal mengisytiharkan kenderaan akan
dikenakan denda sehingga empat atau lima kali ganda nilai kenderaan atau
kenderaan ditahan dan penjara selama dua tahun," katanya kepada Bernama di
sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah meminta maklumat lengkap
berhubung peraturan baharu itu daripada pihak berkuasa Thailand dan akan dimuat
naik dalam laman web Kementerian Luar apabila memperolehinya.
Katanya walaupun ada antara syarat kemasukan tersebut telah
lama dipraktikkan tetapi difahamkan perubahan dibuat bagi memudah dan
memperkemas daftar masuk rakyat asing ke Thailand oleh pihak berkuasa negara
itu.
Mohd Afandi berkata sepanjang tahun ini sehingga Ogos lepas
cuma dua kes kenderaan milik rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa
Thailand kerana melanggar peraturan masuk.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 250 rakyat
Malaysia sedang menjalani hukuman penjara di selatan Thailand membabitkan
pelbagai kesalahan.
-- BERNAMA
Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1389965
1 comments
MENGISTIHARKAN KENDERAAN DI IMIGRESEN THAILAND & KASTAM THAILAND?? ADAKAH PENGISTIHARAN INI DIKENAKAN BAYARAN???
ReplyDelete